Makluman

PKPB diperluas ke tujuh negeri kecuali Perlis, Pahang, Kelantan

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini diperluaskan ke tujuh lagi negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan selama empat minggu, bermula 9 November hingga 6 Disember ini. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata pelaksanaan PKPB ini dibuat selepas berlakunya peningkatan kes COVID-19 di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu. Ismail Sabri berkata, atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), pelaksanaan PKPB di negeri terbabit bagi membolehkan saringan bersasar untuk mengekang pandemik COVID-19.

"PKPB ini dilaksanakan selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember ini kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

"KKM telahpun melaksanakan penilaian risiko dan mendapati terdapat peningkatan ketara bilangan kes positif COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri ini," katanya dalam sidang media harian situasi semasa COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) untuk PKPB ini adalah sama seperti sebelum ini dengan orang ramai perlu mendapatkan kebenaran untuk melakukan rentas negeri.

"Pergerakan keluar masuk merentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran pihak PDRM.

"Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan," katanya.

Katanya, SOP sama seperti hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan dan individu berisiko tinggi serta kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, sesak dan terbuka dikuatkuasakan semasa pelaksanaan PKPB ini.

No comments