Makluman

Johan Kejohanan Olahraga MSSD Kuala Pilah 2020!

06 Februari 2020 - Kejohanan Olahraga MSSD Kuala Pilah Kali ke-50 telah berlansung pada 03 Februari 2020 hingga 06 Februari 2020 bertempat di Stadium Mini SSN SMK Za'ba. Untuk kejohanan kali ini, Sekolah Kebangsaan Pusat Juasseh (SKPJ) telah menghantar seramai 35 orang atlet dengan diiringi oleh 3 orang guru iaitu En. Khir Yaman, En. Abdul Haleem dan En. Mohd Farhad. 


Kejohanan olahraga MSSD ini terbahagi kepada dua kategori iaitu sekolah menengah dan sekolah rendah. Acara yang dipertandingkan pula ialah acara padang dan balapan. Sepanjang empat hari kejohanan olahraga ini berlansung, para atlet SKPJ telah menunjukkan semangat juang dan kesungguhan yang amat tinggi.














Pada hari pertama kejohanan, Muhammad Najmi Irfan berjaya menghadiahkan satu pingat emas apabila menjuarai acara 200m (L3), manakala Siti Nursabriena pula telah menghadiahkan satu pingat perak dari acara 200m (P3).








Kontijen SKPJ berjaya menambah 2 pingat gangsa pada hari kedua kejohanan menerusi acara Lompat Jauh (L4) dan 80m Berpagar (P3). Ahmad Nur Abid beraksi dengan cemerlang apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam acara lompat jauh (L4). Ini merupakan penyertaan kali pertama beliau dalam kejohanan olahraga peringkat daerah. Pingat gangsa kedua pula dihadiahkan oleh Siti Nursabriena dalam acara 80m Berpagar (P3).

















Pada hari ketiga kejohanan, pingat emas kedua kontijen SKPJ hadir menerusi acara 100m (L3) setelah Muhammad Najmi Irfan muncul juara dalam acara tersebut. Kontijen SKPJ tidak perlu menunggu lama untuk pingat emas yang ketiga apabila kuartet 4x200m (L3) yang diwakili oleh Shahrul, Dhiaulhaq, Najmi Irfan dan Aqil Muiz berjaya menduduki tempat pertama dalam acara tersebut. Hari yang cemerlang untuk kontijen SKPJ diteruskan lagi dengan pingat emas yang keempat apabila Syasya Maisarah, atlet lompat jauh, berjaya melakukan lompatan sejauh 3.00 meter sekaligus menjuarai acara lompat jauh (P4). Hari ketiga kejohanan diakhiri dengan begitu cemerlang apabila kuartet 4x200 (P3) yang diwakili oleh Sabriena, Iris, Qaisarah dan Syifa berjaya menamatkan perlumbaan di tempat yang kedua.





















Hari terakhir kejohanan merupakan hari yang paling mendebarkan. SK. Pusat Juasseh dan SK. Talang berkongsi jumlah pingat emas yang sama iaitu sebanyak 4 pingat emas. Acara yang dipertandingkan pada hari terakhir ialah acara akhir bagi 4x100m (L3), 4x100m (L4), 4x100m (P3) dan 4x100m (P4). Kontijen SKPJ mempunyai wakil dalam setiap acara berikut kecuali bagi acara 4x100m (P3).

Acara pertama yang dipertandingkan pada hari keempat ini ialah acara 4x100m (P4). Kuartet SKPJ yang diwakili oleh Damia Aisyah, Syasya, Damia Batrisyia dan Irdina beraksi dengan begitu cemerlang apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam acara ini. Pencapaian cemerlang ini diteruskan lagi oleh kuartet 4x100m (L4), apabila Amir, Abid, Azriel dan Awwal menamatkan perlumbaan di tempat yang kedua. Acara terakhir bagi kontijen SKPJ dalam kejohanan kali ini ialah acara 4x100m (L3). Kontijen SKPJ  hanya memerlukan satu sahaja lagi pingat emas untuk dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah untuk tahun ini. Ternyata, kuartet 4x100m (L3) yang diwakili oleh Shahrul, Dhiaulhaq, Najmi Irfan dan Aqil Muiz tidak mengecewakan apabila mereka berjaya menjadi johan dalam acara 4x100m (L3) sekaligus menempatkan kontijen SKPJ selaku pendahulu dengan jumlah kutipan pingat sebanyak  5 emas, 3 perak dan 3 gangsa.

Dengan pencapaian ini, kontijen SK. Pusat Juasseh berjaya mengulangi pencapaian pada Kejohanan Olahraga MSSDKP tahun lepas apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah. Muhammad Najmi Irfan juga telah terpilih sebagai Olahragawan Harapan Tahun 2020. Selain itu, kuartet lelaki bawah 12 tahun SKPJ pula telah dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik Lelaki Bawah 12 tahun.

















































Majlis penutupan Kejohanan Olahraga MSSD Kuala Pilah kali ke-50 ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Eddin Syazlee Bin Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia. Majlis ini tamat pada pukul 5.00 petang. Tahniah diucapkan kepada semua atlet yang telah mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini. Jutaan terima kasih kepada PIBG, barisan pentadbir, guru-guru serta warga SKPJ atas sokongan dan doa kalian.  Begitu juga kepada barisan jurulatih olahraga yang merupakan tulang belakang kejayaan ini.  Semoga murid-murid SK. Pusat Juasseh terus cemerlang dalam arena sukan di peringkat yang lebih tinggi.


TAHNIAH KONTIJEN SK. PUSAT JUASSEH!

No comments